Ira Sahira Official blog
Bonjour !

Ira Sahira.Subang Jaya,Selangor.Lahir pada 10 nov 1999.Sekarang bersekolah di smk usj 13. ;)
Usaha tidak datang dengan begitu sahaja
Navigations

Follow me? Stories The Owner Cerita saya


Story morry


Credits

PLEASE DO NOT REMOVE THE CREDITS
Skin by Cikin
Cute header by Ira Sahira
Blog owner: IraSahira
Jutawan Gedik: Siri 12: Iklan kecantikan The Wannababes
Friday, March 23, 2012 | 9:55 PM | 0 comments
IKLAN KECANTIKAN THE WANNABABES

SELEPAS kejadian yang sangat menakutkan berlaku kepada The Wannababes, mereka jadi trauma tidak terhingga. Nampak cicak biasa di dinding dewan raya pun terjerit-jerit histeria. Paling kronik adalah Fazura. Badannya masih menggigil dan airmatanya masih mengalir. Mungkin terkenangkan tangan mulusnya pernah tersentuh biawak menggerutu. Malah dia punya memori berpeluk ala-ala berkasih sayang dengan binatang itu!

Mujur Cikgu Putra seorang yang amat memahami. Mungkin seperti mana sejarah diri, dia mengerti gaya pemikiran anak-anak orang kaya sebegini. Tidak langsung memaksa supaya terus mengikuti ekspedisi. Lalu pada pagi berikutnya, tatkala semua pelajar kembali ke hutan… The Wannababes kekal di dewan. Mereka menunggu saat dapat kembali ke Sri Bangsar.

Bagasi-bagasi sudah diatur berhampiran pintu. Tilam-tilam angin sudah digulung satu per satu. Minyak aromaterapi lavender dipadam lilinnya dan dimasukkan ke dalam kotak semula. Segala alatan hiburan seperti iPhone, iPpad dan iPod disimpan dalam beg khas Diana. Kini The Wannababes bersiap sedia menunggu kedatangan Pak Mad, pemandu mereka.

Tatkala rakan-rakan lain bersorak kerana berjaya menemui anak cicak tokek, The Wannababes menyeringai geli-geleman hingga bahu terjongket-jongket. Mereka sudah serik! Mereka sudah tidak mahu bersekongkol dengan idea pelik-pelik.
Mereka sudah tidak mahu meletakkan harapan jadi jutawan dengan cara itu. Mereka sudah bergenggam-genggam tangan, berikrar mahu kembali kepada misi yang satu. The Wannababes akan jadi jutawan muda dengan cara paling bergaya. The Wannababes mahu jana kewangan melalui salon kecantikan remaja! Kembali ke Sri Bangsar, Fasha segera memanggil satu mesyuarat. Dia kini aktif menyusun gerak kerja menjelang minggu hadapan. Paling tidak disangka, dalam mesyuarat itu Fasha memanggil Wilma Mia, Ketua Editor Sidang Redaksi Sekolah Sri Bangsar.

Jemputan khas itu dibuat bagi mengadakan pakatan bersama. Wilma diajak bersekongkol dengan The Wannababes yang paling popular. Wilma, seorang senior yang sememangnya sudah lama kepingin jadi ahli ke-lapan The Wannababes… cepat-cepat angguk kepala.

“Rakan-rakan seperjuangan semua jangan bimbang. Saya sendiri boleh pastikan, buletin khas edisi The Wannababes ini diedarkan kepada semua pelajar sekolah kita. Ia akan jadi pengiklanan paling besar. Penyampaian info paling maksima!” Wilma berjanji setia.

“Bagus, Wilma! Tetapi ingat ya! Paling penting, mesti edarkan kepada semua pelajar perempuan. Itu target market kita.” Fazura segera memberi pesanan tambahan.

“Tentu sekali! Saya sendiri akan berkempen demi The Wannababes. Saya akan jumpa pelajar perempuan, lebih-lebih lagi yang tidak pandai bergaya. Mereka akan diberikan satu buletin ini secara percuma. “Saya jamin, pasti ramai berpusu-pusu menyerbu salon kecantikan remaja milik The Wannababes!” Wilma begitu bersemangat sekali. Mulutnya manis tidak terperi. Janji ditabur menjulang tinggi. Dia tidak mahu mengecewakan kumpulan The Wannababes yang sangat dihormati. Dia mahu turut serta jadi rakan kongsi bersekutu yang boleh dipercayai.

“Ini salinan isi buletinnya. Pastikan segala ejaan betul sebelum dicetak.” Sazzy menyerahkan sekeping CD. Wilma menerima tanggungjawab itu sepenuh hati dan berlalu pergi menjalankan tugas dengan patuh sekali!

Hari Isnin menjelma. Selepas habis perhimpunan, sebaik pelajar melalui pintu keluar… mereka diserahkan buletin siri terbaru Sekolah Sri Bangsar. Membaca isinya, semua terkerut-kerut sendiri. Mengapa semuanya tentang The Wannababes? Mengapa isinya tentang info kecantikan yang begitu tertumpu kepada kisah tujuh gadis cantik? Membaca satu per satu helaian, semua pelajar terasa seperti sedang membelek majalah kecantikan di pasaran!

KETAHUI PETUA KECANTIKAN FASHARINA BT TAN SRI HISHAM

Siapa tidak kenal dengan Fasha? Gadis berumur 17 tahun ini sangat menyerlah penampilan diri kerana petua-petua kecantikan dilakukan dengan sepenuh hati dan sehabis disiplin diri. Keanggunannya menyerlah. Keayuannya tiada tandingan.

Tiada siapa boleh menyangkal, pengaruh Fasha begitu hebat. Dia bagaikan bos besar. Dihormati pelajar-pelajar, dihujani surat-surat peminat yang mahu mendekati dan dicemburui semua gadis. Semua turut mengetahui… setiap kata-kata Fasha adalah muktamad dan sebarang rayuan berbentuk bisikan, surat-menyurat dan e-mel tidak akan dilayan! Dia punya kuasa veto membuat keputusan tentang fesyen, kecantikan dan perkara-perkara berbangkit berkaitan The Wannababes. Dia turut menjadi pelajar perempuan paling berpengaruh di Sekolah Sri Bangsar! Pencapaian ini sememangnya kerana Fasha mempunyai pakej yang lengkap. Tubuh langsing tinggi persis model pentas peragaan. Kulit putih mulus tiada sebiji pun jerawat. Bibir bak delima merekah. Pendek kata, Fasha memang anggun, cantik, comel dan menawan semua!

Namun di sebalik kesempurnaan yang dimiliki, sebenarnya Fasha mengamalkan petua-petua kecantikan yang menjadi amalan sehari-hari. Setiap malam mesti melumur wajah dengan pati tomato asli. Bibir perlu dioles minyak zaitun asli. Bagi menjaga pinggangnya supaya kekal ramping, sebelum tidur juga… Fasha pasti meminum secawan jus lemon yang dicampur dengan asam keping.

Itulah antara petua-petua yang diamalkan Fasha dan semuanya bakal dikongsi dengan pelanggan-pelanggan yang sudi menghadirkan diri ke majlis perasmian ‘Salon Kecantikan Remaja The Wannababes’ pada Sabtu dan Ahad ini. Jangan ketinggalan kerana inilah satu-satunya peluang mengetahui rahsia kecantikan Fasharina bt Tan Sri Hisham, gadis paling cantik di Sekolah Sri Bangsar!

RUANGAN SEMBANG NANA, JURUSOLEK MUDA BERBAKAT BESAR.

Hai… hai… hai! Bertemu kita buat pertama kalinya dalam ruangan ‘Nana The Make Up Guru’. Saya Nana, ahli The Wannababes yang paling mahir dalam bab solekan mahu memberi tip-tip solekan dan kecantikan buat semua peminat-peminat yang sentiasa menyanjungi kecantikan saya! (hehehe… perasan pula saya!)

Dalam segmen kali ini, saya akan memberi pengajaran pertama tentang cara-cara menjaga kulit muka. Sebenarnya solekan yang cantik bermula daripada kulit yang bebas masalah. Jadi… kita mesti menjaga kulit muka supaya tampil sempurna. Buat pertama kali, secara eksklusifnya saya kongsikan cara mendapatkan wajah mulus seperti ahli The Wannababes semua.

Pastikan muka dicuci setiap pagi dan petang dengan pencuci muka yang lembut dan tidak merengsakan. Ini adalah amalan yang paling penting! Ia memastikan kulit sentiasa bebas daripada kekotoran dan habuk. Ingat! Liang muka yang tersumbat dengan kekotoran adalah penyebab utama punca jerawat!

Bagi yang kurang rajin seperti saya (hehehe… saya tidak mahu mengaku malas!) bolehlah membersihkan muka menggunakan facial wipes (tisu basah) Pasti kotoran, sisa bedak dan habuk dapat dibersihkan dengan sekali lap!

Selepas membersihkan wajah, jangan lupa sapukan toner. Ada merasakan toner tidak penting. Walhal itu tanggapan yang amat salah! Toner membantu menutup semula liang roma. Jadi pori-pori kekal tertutup dan muka nampak lebih licin! Contohilah kumpulan The Wannababes yang sukakan toner bebas bau, warna dan bahan kimia. Memang sesuai untuk kulit remaja!

Pssssst…. Mahu tahu satu rahsia? Sebenarnya jika tidak menggunakan toner terkemuka dan berjenama pun tidak mengapa! Ambil sahaja beberapa ketul ais. Golekkan ke seluruh muka. Ianya boleh menutup kembali liang pori-pori! Cara ini lebih semulajadi!

Sebenarnya saya ada banyak sangat tip solekan yang terkumpul di dada. Cara mencari bedak sesuai buat remaja. Cara tatarias yang lebih segar-bugar supaya wajah nampak bercahaya. Tip menjauhkan alat-alat solek yang boleh membuatkan wajah macam opera Cina. Itu semua akan diajarkan secara eksklusif hari Sabtu dan Ahad ini pada majlis pembukaan salon The Wannababes. Mahu berguru dengan saya? Jangan lupa datang ya!

PENCETUS GAYA RAMBUT, NUR DIANA BT NAIMI

Nur Diana Naimi adalah satu-satunya pelajar Sekolah Sri Bangsar yang dinobatkan mempunyai rambut tercantik walaupun berambut pendek. Rambutnya begitu terserlah sirna, sihat berkilat, tiada kelemumur dan tidak pernah kusam langsung! Dia senang dan selesa berambut pendek kerana dirinya memegang jawatan ketua sorak Sekolah Sri Bangsar.

Oleh kerana aktiviti harian Diana adalah melonjak ria, terkinja-kinja dan melompat tidak ingat dunia… maka atas sebab itu, Diana memilih berambut pendek. Jelas membuatkan penampilannya lebih praktikal, kemas dan bergaya.

Sememangnya begitu ramai memuji rambut Diana. Selalu bertukar-tukar fesyen walaupun pendek sahaja. Ramai tidak tahu, sebenarnya Diana mahir memotong dan mendandan rambut sendiri. Ya! Diana boleh menggunting rambutnya sendiri. Ia bakat semula jadi yang dimiliki tanpa perlu belajar dari mana-mana institusi!

Jika diperhatikan, pasti dapat dilihat gayanya menyamai ikon selebriti Victoria Beckham. Diana sering tampil memotong rambut persis Victoria. Antara yang pernah digayakan oleh Diana adalah:

1) Potongan rambut yang panjang di hadapan tetapi ‘layered’ di bahagian belakang. Ini adalah stail rambut yang paling disukai Diana. Hampir tiga bulan juga Diana bertahan dengan gaya rambut ini sebelum beralih angin kepada gaya yang lain.

2) Potongan rambut lebih panjang sedikit melepasi leher. Kemudian bahagian hujung-hujung rambut dikerintingkan supaya memberi efek lembut pada wajah. Diana nampak sangat manis apabila bergaya begini!

3) Rambut pendek juga boleh disanggul tinggi. Nampak kemas dan elegan. Biasanya Diana menyanggul rambut meniru gaya Victoria Beckham ketika menghadiri majlis makan malam anjuran sekolah.

Melihat transformasi dan eksperimen demi eksperimen yang dilakukan oleh Diana, maka wajarlah dia dinobatkan sebagai ahli The Wannababes yang paling pandai memilih gaya rambut! Jadi sememangnya ia satu peluang keemasan apabila Diana sendiri sudi mencemar duli memotong, mendandan dan memberi khidmat nasihat kepada pelanggan-pelanggan salon The Wannababes yang akan mula dibuka Sabtu ini!

Anda mahu rambut secantik dan sehebat Victoria Beckham? Singgahlah salon The Wannababes hujung minggu ini!

SAZZY, SI FASHIONISTA PERUNDING IMEJ

Sazzy, ahli kehormat The Wannababes yang satu ini sangat dikenali kerana sentiasa tampil hebat bergaya. Manakan tidak, dia memegang portfolio Fashion Advisor. Setiap kali mesyuarat hujung minggu, Sazzy pasti membentangkan gaya terbaru dalam konsep pemakaian remaja. Sazzy juga kerapkali memperkenalkan sesuatu yang baru dan lain daripada yang lain. Pendek kata, Sazzy adalah trendsetter dalam kumpulan The Wannababes!

Antara fesyen kasut terbaru yang diperkenalkan oleh Sazzy kepada teman-temannya adalah gaya kasut but yang sangat sporty. Ala-ala kasut but tumit tinggi digabungkan dengan kasut sukan! Memang berlainan dan mampu membuatkan semua memandang dua kali!

Sazzy juga orang pertama memperkenalkan gaya baju kembang-kembang Cosplay yang begitu popular di Jepun. Sewaktu Sazzy memakainya, dia kelihatan sangat comel seperti anak patung Cina! Tambah lagi dengan rambutnya yang kerinting-kerinting maggi. Memang Sazzy pandai berfesyen dan menyerlahkan aura diri!

Selain itu, Sazzy juga sentiasa dipandang tinggi kerana sentiasa tampil unik. Apabila disuruh memakai blazer ketika majlis-majlis khas di sekolah, Sazzy tidak akan tampil dengan blazer biasa. Sazzy tentu menggayakan blazer bermacam jenis seperti blazer berbahu tinggi dan blazer military ala-ala Michael Jackson.

Tentu semua pelajar Sekolah Sri Bangsar ingat lagi, sewaktu Sazzy tampil dengan blazer hitam pelbagai jenis ini… dia telah didenda oleh Cikgu Amnah. Dia disuruh berjalan di atas pentas sebanyak 20 kali kerana memperagakan blazer pelik yang begitu berlainan berbanding orang lain. Namun Sazzy yang punya bakat terpendam seorang supermodel tidak merasakan itu satu hukuman, sebaliknya satu penghargaan! Maka Sazzy dengan senang hati melakukan cat walk atas pentas. Bukan setakat 20 kali seperti diminta, Sazzy rajin menambahnya hingga 30 kali ulang-alik pentas dengan penuh bangga!

Apabila ditanya, Sazzy menjawab bahawa keyakinan pasti meningkat dalam apa jua situasi jika memakai fesyen yang selesa dan kena dengan diri. Kepada para pelajar yang tidak tahu bergaya, tidak pandai memilih pakaian yang sesuai dan tidak yakin mahu berfesyen… datanglah ke salon The Wannababes bagi mendapatkan konsultasi imej percuma!

PELANCARAN SALON REMAJA THE WANNABABES

Buat julung-julung kalinya, The Wannababes mengambil inisiatif berkongsi ilmu kecantikan yang dimiliki dengan semua. The Wannababes akan membuka salon khas buat remaja! Paling menarik… ahli-ahlinya yang anggun akan turun padang memberi ilmu, berkongsi rahsia dan membantu remaja lain jadi cantik juga. Jadi datanglah beramai-ramai ke lokasi di dalam peta yang tertera. Hari Sabtu dan Ahad ini, jangan dilupa! Mana tahu… anda semua boleh dapat sedikit percikan The Wannababes yang glamor!

Membaca buletin khas keluaran The Wannababes, Fasha tersenyum senang. Dia yakin sewaktu pembukaan salon nanti, semua pelajar Sekolah Sri Bangsar akan datang. Penuh permintaan hingga menjana pendapatan RM1 juta seperti yang dimahukan!
Fasha tidak sabar menunggu minggu hadapan….

…. bersambung


Old things | New things