Ira Sahira Official blog
Bonjour !

Ira Sahira.Subang Jaya,Selangor.Lahir pada 10 nov 1999.Sekarang bersekolah di smk usj 13. ;)
Usaha tidak datang dengan begitu sahaja
Navigations

Follow me? Stories The Owner Cerita saya


Story morry


Credits

PLEASE DO NOT REMOVE THE CREDITS
Skin by Cikin
Cute header by Ira Sahira
Blog owner: IraSahira
Jutawan Gedik: Yummy Licious yang hebat! - Siri 7
Friday, March 23, 2012 | 9:54 PM | 0 comments
ASSALAMMULAIKUM dan salam sejahtera. Semoga hujung minggu Sabtu ini penuh ceria!
Bertemu lagi kita dalam ruangan AinMaisarah Berkongsi Cerita. Sudah genap tujuh minggu kita bersama. Kepada yang setia membaca novel bersiri 'Jutawan Gedik' ini... terima kasih tidak terhingga Kak Ain ucapkan. Kak Ain sendiri cukup teruja kerana setiap minggu, idea-idea menjadi jutawan dapat dikongsikan. Satu persatu plot yang digarap akan didedahkan. Kini kita sudah tahu idea RM1 juta yang bakal dilaksanakan oleh kumpulan The Wannababes, kumpulan '3K' dan kumpulan ‘Yummylicious’. Ada dua lagi kumpulan menanti untuk berkongsi pelan perancangan yang unik sekali. Mahu tahu apa rancangan Amanda Krishna dan Irfan Khairiri? Mesti dapatkan novel bersiri 'Jutawan Gedik' di Berita Harian minggu depan ya!
Selain sibuk memastikan cerita ‘Jutawan Gedik’ sampai ke meja Editor Berita Harian mengikut masa yang ditetapkan... Kak Ain juga sangat padat jadual waktu dengan aktiviti ‘Program Jelajah Sekolah AinMaisarah.’ Menerusi program yang dijalankan sejak 2010 ini, Kak Ain sudah melawat 65 buah sekolah-sekolah seluruh Malaysia dan berkongsi cerita mengenai pengalaman Kak Ain sebagai seorang penulis dan juga potensi sebenar kerjaya penulisan. Hah! Jangan tidak tahu, kerjaya sebagai penulis juga boleh jadi jutawan! Lihat saja JK Rowling, penulis tersohor cerita Harry Potter! Sebenarnya melalui program inilah... Kak Ain mengharapkan lebih ramai remaja di luar sana menyedari potensi bidang penulisan. AinMaisarah juga bakal memberikan bengkel penulisan secara percuma kepada sekolah yang menjemput! Memang Kak Ain seronok dan bersemangat sangat dapat turun padang. Boleh berjumpa pembaca-pembaca AinMaisarah secara berhadapan!

Sekiranya ada pembaca novel bersiri ‘Jutawan Gedik’ yang mahu menjemput Kak Ain ke sekolah, mudah sahaja caranya. Berikan nama sekolah dan nombor telefon guru subjek Bahasa Melayu atau guru perpustakaan kepada pengurus Kak AinMaisarah iaitu Tuan Syaizul Amal bin Zulkaffly di e-mel syaizul2011@gmail.com

Mana tahu, ada rezeki kita boleh bertemu mata di sekolah-sekolah pula!
Okey, sudah panjang celoteh AinMaisarah. Minggu hadapan Kak Ain sambung celoteh lagi ya! Jaga diri semua!

Salam Sayang,
AinMaisarah
www.ainmaisarah.com
www.facebook.com/ainmaisarah.novelis

REHAT tiga puluh minit! Pengumuman Cikgu Putra disambut baik! Masing-masing berpusu-pusu meninggalkan bilik tayangan. Tentunya menuju kantin, melapik perut dengan santapan. Ada yang mahu minum air, melegakan tekak yang kekeringan.

Bagi kumpulan yang sudah membentangkan idea, hati terasa lega tidak terkira. Namun mereka masih rancak berbincang sepanjang jalan. Tentunya menilai isi-isi kumpulan lawan. Paling ketara, kumpulan The Wannababes yang berkumpul tujuh sekawan. Kelompok perbincangan dilakukan dengan begitu serius dan mendalam. Tanda mahu memastikan kelemahan kumpulan lain dapat disenaraikan... lalu digunakan sebagai senjata rahsia paling tajam!

Linda jadi orang pertama yang menggeleng tidak henti-henti. “Saya rasa macam bermimpi. Zaman sekarang, cicak pun orang sanggup dibeli!”

Diana pun bersetuju, “Siapa sangka, harga binatang menggerutu itu mencecah ratusan ribu ringgit! Satu info pelik lagi ajaib!”

Tiba di kantin pun, The Wannababes tidak lalu minum atau makan. Mereka lebih leka berbincang tentang strategi cicak tokek yang diutarakan kumpulan Wobert Wiok, dalam usaha mahu jadi jutawan.

Paling berkerut adalah Fasharina bt Tan Sri Hisham. Berfikir sambil mengetap-ngetap bibir dengan muka yang sehabis masam! Shasha juga senyap sunyi. Tidak lagi ceria seperti tadi. Dia turut menunjukkan kriteria resah hati. Ini kerana idea Wobert Wiok memang hebat... tidak boleh dinafikan lagi!

“Saya rasa kumpulan kita akan kalah...” Sazzy sudah mengungkap kata penuh lemah. Belum pun bermula pertandingan secara sah! Itu membuatkan Fazura menghentak meja dengan marah! “Hei! Kita kumpulan The Wannababes yang gah! Tidak mungkin menyerah!”

“Betul cakap Faz! Mana boleh kita beri laluan mudah pada Wobert Wiok yang macam bagus itu! Kita mesti bersatu. Bila The Wannababes letakkan satu matlamat yang padu... mesti kita jadi nombor satu!” Nana memberi nasihat positif lagi jitu.

“Tapi kita perlu akur. Kita mesti mengaku. Idea jual cicak tokek itu memberi pulangan yang mewah. Seekor berharga RM250,000. Jual empat ekor sahaja, kumpulan Wobert Wiok sudah menang mudah!” Fasha sendiri mempamerkan riak risau dan tidak tentu arah!

“Kita pula... berapa banyak kali perlu lakukan rawatan kecantikan remaja bagi menjana RM 1 juta?” Tiba-tiba Sazzy mempersoalkan keberkesanan idea The Wannababes yang sebelum ini terasa hebat hingga ke langit!

Seketika suasana jadi hening. Kumpulan The Wannababes serentak memegang kepala yang tidak pening. Nyata... dalam hati semua sudah mengaku. Perjalanan mahu jadi jutawan memang berliku!

“Girls... no worries. I have an idea.” Tiba-tiba kebuntuan dipecahkan oleh suara Fazura yang ceria. Membuatkan semua The Wannababes kembali mengangkat muka. Dengan wajah tertanya-tanya.

Kini Fazura jadi tumpuan. Dengan wajah penuh senyuman. Dia memberi isyarat supaya semua orang datang dekat. Lantas suaranya berbisik jahat. “Psst... kita boleh sabotaj cicak-cicak itu!”

“Sabotaj? Sabotaj yang macam mana?” Linda masih kabur-kabur dengan cadangan Fazura.
“Kita bunuh cicak-cicak itu! Pastikan Wobert Wiok tidak sempat jual dan tidak dapat duit beribu-ribu!” Idea Fazura dibentangkan dengan nada paling rendah. Takut ada pelajar lain yang mencuri dengar.

“Jika tiada cicak, kumpulan Wobert Wiok tidak akan dapat RM 1 juta! Jadi secara automatik... kitalah juara!” Mata Fazura bersinar-sinar. Terasa ideanya itu bijak benar.

“Hmm... saya suka idea Fazura yang unik dan tersendiri! It’s nasty. It’s catchy!” Diana turut galak matanya dan mengangkat ibu jari. Tanda memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

“Betul... betul... betul! Saya sudi sertai misi keji ini.” Linda turut sama menyatakan kesediaan diri. Wajahnya penuh rasa iri hati. Tentu mahu memastikan Wobert Wiok dan kumpulan 3K tidak dapat mengecapi kejayaan yang diingini.

“Saya pun sanggup ikut serta dalam aktiviti rahsia. Membunuh cicak tokek tentu tidak sesusah mana. Paling penting, kita perlu bijak. Pastikan tiada bukti-bukti yang meninggalkan jejak.” Nana turut setuju, tersenyum dengan matanya yang galak.

Kini semua menunggu persetujuan Fasha, Shasha dan Sazzy. Tiga ahli The Wannababes itu masih terdiam sendiri. Tiada maklumbalas yang diberi. Membuatkan Fazura memainkan peranan mempengaruhi sekali lagi. “Girls! Come on! Kita perlu sepakat dan bersatu hati. Barulah segala yang dilakukan berjaya dan menjadi!”

“Tapi... saya tidak sampai hati.” Sazzy dengan perlahan memberitahu pandangan peribadi.

“Huh? Tidak sampai hati?” Fazura berkerut dahi. Sedikit pelik dengan reaksi Sazzy.

“Yalah, kita perlu bunuh cicak tokek itu. Kita perlu cederakannya. Itu zalim namanya!” Sazzy terkelip-kelip memandang semua. Bagaikan menahan haru yang datang tiba-tiba, matanya jelas berkaca! Sazzy kini bersuara seperti seorang pencinta haiwan dan aktivis alam sekitar yang berjaya!

“Eh? Setahu saya, bunuh cicak dapat pahala. Saya rasa tidak ada masalahnya! Ia bukan zalim, malah dituntut agama!” Nana cuba mempertahankan idea Fazura. Langsung terlupa, hakikat sebenar niat mereka mahu mensabotaj kumpulan Wobert Wiok... itulah yang berdosa besar!

“Saya pun tidak sanggup mahu bunuh-bunuh. Cicak tokek itu walaupun menggerutu, ianya haiwan ciptaan Tuhan. Lagipun, kita kurang pengetahuan agama. Cicak spesies apa yang sunat dibunuh? Adakah cicak tokek, cicak domestik di rumah atau cicak padang pasir?” Dengan segera Shasha mempertikaikan info yang disampaikan oleh Nana. Hingga Nana terkelat-kelat wajah, tidak mampu menepis hujah.

“Lagipun... walau sehebat mana kita mahu menang dalam pertandingan, saya rasa kita tidak patut sampai berbunuh-bunuhan.” Shasha yang paling serius dalam kumpulan... turut menentang cadangan Fazura yang dianggap keterlaluan.

Fazura jelas menahan rasa. Meluat yang meluap-luap kerana cadangannya ditolak oleh Shasha. Namun dia terpaksa memujuk dengan penuh hikmah. Ini kerana Fasha dan Shasha, dua orang ahli tertinggi dalam kumpulan The Wannababes mesti bersetuju dengan cadangan yang dilontarkannya. Barulah seluruh kumpulan akan menurut sama.

Lalu Fazura menarik nafas dalam-dalam, sebelum menyuntik pandangan. “Saz... saya bukannya cadangkan kita bunuh cicak-cicak itu dengan pisau atau pistol. Tidak perlu ganas-ganas. Tidak perlu ada pertumpahan darah yang berlebihan! Mungkin kita guna dos racun serangga. Fungsinya macam ubat tidur sahaja. Percayalah, ia langsung tidak menyakitkan!”

“Atau lebih mudah... bebaskan sahaja cicak-cicak itu kembali ke alam semesta. Buka sangkarnya. Biar terlepas bebas. Wobert Wiok dan kawan-kawannya tentu tidak sempat menangkap!” Cadangan Diana dilihat lebih praktikal, berperikemanusian dan boleh diterima pakai.

Sebaik mendengar cadangan Diana, Fasha yang senyap sedari tadi sudah tersenyum berseri-seri. “Saya suka cadangan itu! Kita masih lagi boleh mensabotaj kumpulan Wobert Wiok. Tetapi tidak keterlaluan unsur kekejaman dan kezaliman yang digunapakai!”

Melihat Fasha sudah memberi persetujuan, semua mengangguk mengiakan. Lalu mereka seia dan sekata merangka kertas cadangan mensabotaj cicak-cicak tokek milik kumpulan 3K dengan jayanya! Kertas cadangan itu mampu disiapkan dalam masa lima minit! Ianya menjadi modus operandi rahsia yang hanya diketahui oleh kumpulan The Wannababes. Kini tujuh gadis kembali ke perjumpaan Kelab Jutawan Sri Bangsar dengan hati yang senang!

Memasuki kembali bilik tayangan, majoriti duduk di kerusi menanti pembentangan. Malah Cikgu Putra sudah menggamit kumpulan seterusnya datang ke hadapan. Kumpulan yang diketuai Maznah Hamidi, kini memonopoli pentas persembahan.

Senyumannya mesra. Melirik ke arah satu wajah yang didamba. Maznah Hamidi memang meminati Cikgu Putra! Dengan semangat mahu mempersembahkan yang terbaik, dia berdiri di tengah-tengah selaku ketua. Kelihatan sangat comel bergaya. Memakai baju persis chef terkemuka. Siap dengan topi tinggi yang tentu dipinjam daripada emaknya.

Di kiri dan kanan, empat rakan lain turut memakai apron putih yang elok terletak di badan. Masing-masing menatang dulang yang berisi makanan. Ianya berbau enak dan sedap! Hingga membuatkan semua pelajar terhidu-hidu dan terjenguk-jenguk ingin tahu, makanan apa yang dibawa oleh kumpulan Maznah Hamidi itu?

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya mewakili kumpulan ‘Yummylicious’ ingin mempersembahkan idea RM 1 juta kami. Setelah berbincang dan memerah idea, kami sepakat menggunakan bakat yang ada. Kami mahu buktikan, bakat memasak boleh merintis jalan bagi mengecap taraf jutawan muda.”

Dengan kata-kata itu, empat ahli kumpulan lain sudah berjalan ke hadapan. Membawa dulang penuh sopan. Lagak pelayan hotel lima bintang. Mendekati penonton yang memandang. Empat ahli itu berfungsi bagaikan model profesional. Berpusing ala-ala catwalk. Namun bukan memperagakan pakaian... tetapi menunjukkan hidangan di dalam dulang!

“Kumpulan kami merancang mahu menyediakan perkhidmatan menerima tempahan cupcake dan muffin. Setakat ini, pasarannya khas untuk pelajar-pelajar Sekolah Sri Bangsar. Produk kami dijamin lazat, enak dan selamat... setaraf kedai-kedai kek terkemuka.” Maznah Hamidi menjadi jurucakap sambil empat lagi ahli terus-terusan jadi model muffin dan cupcake yang dibuatnya.

“Hari ini kami buat muffin vanila dan cupcake coklat.” Lagak seorang chef, Maznah Hamidi sudah menyarung tangan dengan span tebal dan mengangkat dulang panas di sisinya. Berisi muffin dan cupcake yang sudah diatur begitu cantik. Ianya diletakkan betul-betul di atas meja. Buat tatapan semua pelajar yang ada. Memang menggebu-gebu. Memang menggoda! Muffin itu juga masih ada asap-asap lembut yang keluar dari celah rongga-rongga span. Tentu baru dimasak segar dari ketuhar!

“Silakan merasai muffin dan cupcake buatan kumpulan kami. Resepinya saya ambil daripada rancangan memasak Martha Stewart.” Maznah Hamidi tersenyum megah. Malah dia turut menghidangkan muffin dan cupcake khas buat Cikgu Putra!

Ketika itu The Wannababes berpaling dan berbisik sesama sendiri. Huh? Sungguh tidak disangka dan diduga! Ketika mana remaja di luar sana gilakan siri Boys Over Flower, Ugly Betty dan Project Fashion… gadis bernama Maznah Hamidi itu menonton rancangan memasak Martha Stewart? Biar betul???

Maznah Hamidi ditenung gaya pelik oleh semua pelajar. Namun pandangan itu hilang sebaik empat lagi ahli kumpulan sudah mula menghidang. Mereka menghulurkan satu muffin, satu cupcake beserta sehelai tisu kepada semua ahli Kelab Jutawan Sri Bangsar.

Tanpa banyak soal, hampir serentak semua pelajar menggigit hidangan. Selepas itu secara serentak… majoriti menutup mata. Menjilat bibir. Menikmati keenakan yang tiada tolok bandingnya! Ah! Memang cukup manis, gebu dan lembab kek comel tersebut. Sama taraf muffin di Kenny Rogers! Boleh diletak sebaris dengan kek Secret Recipe yang popular!

“Sedapnya! Memang enak tidak terkata!” Sudah ada dua tiga orang pelajar yang memberikan respons yang sama.

“Hmm… boleh saya ambil satu lagi muffin ini?” Seorang pelajar lelaki sudah bertanya.

Maznah Hamidi mengangguk dan tersenyum senang. Sebaik melihat ketua chef itu memberi kebenaran, beberapa pelajar lain turut memanjangkan tangan. Mencapai muffin buat kali kedua. Malah ada yang mencapai tiga empat biji cupcake sekaligus dan memakannya dengan rakus!

“Silakan semua. Boleh makan seberapa banyak pun muffin dan cupcake yang kami buat. No worries. Kami ada bawa banyak lagi. Cuma apabila habis menjamu selera nanti… jangan lupa bayar harga muffin dan cupcake kepada empat ahli kumpulan saya.” Maznah Hamidi menunjuk ke arah rakan sepasukan yang jelas sekali memerhati bagaikan helang. Mungkin mahu memeriksa dan mengingati, siapa di antara ahli Kelab Jutawan Sri Bangsar yang sudah makan melebihi satu biji muffin dan cupcake.

“Eh? Muffin dan cupcake ini kena bayar? Bukannya percuma?” Sudah ada suara yang bertanya.

Maznah Hamidi tersenyum. Kali ini senyumannya lebih lebar lagi. “Please! Mana ada benda percuma di dunia ini! Muffin dan cupcake kami harganya RM3 sebiji. Hasil jualannya akan menyumbang kepada kemenangan kumpulan kami!”

Sebaik mendengar bahawa harga muffin dan cupcake yang sudah masuk ke perut itu adalah RM3, ramai terkejut dan ternganga. Ada pelajar yang sedang makan muffin itu pada kadar separuh sudah tersedak-sedak dibuatnya. Paling malang tentunya beberapa orang pelajar lelaki bersifat gelojoh yang sudah selamat menyental hingga tiga biji cupcake. Maknanya perlu membayar RM9! Terus pucat lesi muka mereka!

Dan Maznah Hamidi terus tersenyum gaya pemenang. Tanpa sedikit pun rasa bersalah pada wajahnya…

…bersambung


Old things | New things