Ira Sahira Official blog
Bonjour !

Ira Sahira.Subang Jaya,Selangor.Lahir pada 10 nov 1999.Sekarang bersekolah di smk usj 13. ;)
Usaha tidak datang dengan begitu sahaja
Navigations

Follow me? Stories The Owner Cerita saya


Story morry


Credits

PLEASE DO NOT REMOVE THE CREDITS
Skin by Cikin
Cute header by Ira Sahira
Blog owner: IraSahira
Siri 3: Jutawan Gedik: Idea The Wannababes
Friday, March 23, 2012 | 9:56 PM | 0 comments
MESYUARAT tergempar. Mesyuarat terkini. Kumpulan The Wannababes berkumpul lagi. Kali ini misinya mencari idea menjana RM1 juta. Lokasi mesyuarat diadakan di ruang bilik tidur Fasharina Tan Sri Hisham. Suasana bernuansa merah jambu. Terang dihiasi neon lampu. Mewah diserikan chandelier yang bergemerlapan dan berjuntaian berlian berbatu-batu.

Perbincangan bermula sebaik The Wannababes berkumpul di atas tilam yang empuk. Berbekalkan keropok dan berbotol-botol air Coke. Bantal yang ada di atas katil juga semuanya habis dipeluk-peluk. Masing-masing mencari keselesaan. Masing-masing bersedia dengan pen dan kertas. Mahu mencatat segala idea yang terlintas. Fasha jadi tumpuan utama bilamana dirinya bersila penuh semangat. Berada di tengah katil yang luasnya teramat. Memandang satu persatu ahli kumpulan yang semuanya berwajah cantik bagaikan model rancangan Barat. “Girls! Tumpukan perhatian! Mesyuarat bermula sebentar lagi!”
“Ingat! Ini perbincangan serius! Jangan sesekali selitkan unsur gosip Justin Bieber atau Zac Efron.” Nur Shasha Datuk Saidini, selaku penolong paling setia, kekal berada di sisi Fasha. Sempat memberi peringatan kepada The Wannababes yang lainnya.
Fazura Hazura Hazman, ahli yang paling laser mulutnya turut menghadirkan diri. Laju dia mengangguk tanda memahami. Malah pada mesyuarat kali ini, dialah yang datang paling awal sekali! Pelik sungguh kerana Fazura selalunya lewat dalam segala perkara. Mungkin Fazura sendiri terlalu bersemangat mahu memenangi cabaran jutawan yang disertainya.

Nana Ilyana Yusman atau lebih mesra dipanggil Nana merupakan gadis berkulit hitam manis yang menunjukkan semangat kerajinan terpuji. Datangnya dia membawa segala jenis bahan rujukan. Mengeluarkan buku-buku tebal dan diletakkan betul-betul di tengah kumpulan. Antara tajuk yang terlihat dibawa sama adalah buku-buku bisnes seperti 10 Ways To Be A Millionaire dan The Millionaire’s Mind. Wajahnya teruja berkata, “Memang saya sudah bersedia sangat menghadiri perbincangan ilmiah ini! Tengoklah, saya bawa buku rujukan yang diambil dari perpustakaan peribadi ayah sendiri!”

“Saya pun bawa sesuatu. Coklat untuk dimakan, tetapi bukan untuk dibuat rujukan!” Sazzy yang berambut kerinting ala maggi kelihatan tersenyum nakal. Kotak emas bersusun coklat pelbagai bentuk itu sudah diagih-agihkan. Sazzy merupakan seorang anak duta Malaysia ke luar negara. Bagi memeriahkan mesyuarat kali ini, Sazzy bermurah hati membawa coklat-coklat mahal yang dibeli oleh ayahnya setiap kali balik ke Malaysia. Jadi selain mengunyah keropok, The Wannababes juga seronok menikmati coklat mahal yang mencair di mulut.

Begitulah lazimnya kesatuan ahli The Wannababes. Mereka bekerjasama dalam segala perkara. Apabila bermesyuarat di rumah Fasha, mereka tahu sangat sumber makanan dan minuman adalah terhad. Mama Fasha alergik ke dapur, bimbang tangan jadi kasar dan kesat. Dua bibik di rumah besar itu pula lebih berbakat membasuh baju dan mengemas rumah hingga berkilat. Memasak? Huh! Jangan disuruh-suruh! Nanti ada yang sakit perut hingga duduk dalam wad berminggu-minggu.
Oleh kerana itu juga, seorang lagi ahli The Wannababes turut membawa buah tangan. Nur Diana Mohd Naimi yang berambut pendek ala Victoria Beckham mengeluarkan tiga bekas aiskrim. Berperisa coklat, vanila dan strawberi. Siap bawa whip cream lagi! “Sila… sila… sambil mesyuarat, makanlah aiskrim sekali.” Dengan selamba, Diana sudah menyuap sesudu besar aiskrim coklat ke mulut. Kemudian matanya terpejam-pejam sendiri akibat terlalu sejuk.

Linda, ahli terakhir yang tiba. Membuka pintu dalam keadaan pucat-pucat muka. Nafas tercungap-cungap bagaikan pelari pecut 500 meter. Dengan segera dia memberitahu semua. “Girls! Sorry I’m late! Tapi saya bawa berita penting!” Kini semua mata yang duduk di atas katil itu sudah memandang ke arah Siti NurLinda Ratfar. Ahli The Wannababes yang paling manis dan ayu wajahnya. Semua ternanti-nanti berita apakah yang mahu disampaikannya.

“Saya periksa Facebook sebelum datang ke sini. Tidak sangka, Wobert Wiok begitu maju ke hadapan! Dia buka akaun di Facebook dengan nama ‘Sayalah Bakal Jutawan Sri Bangsar’. Dia dedahkan kononnya tahu strategi paling bijak menjana RM1 juta. Dalam statusnya juga, dia kata dengan mudahnya boleh kalahkan kita semua! Paling bahaya, ramai pelajar yang menyokongnya! Sudah ada 112 orang rakan dalam masa satu jam.” Linda cemas memberitahu. Beg sandang sudah diletak di tepi katil. Kemudian Linda duduk di sebelah Sazzy. Mencapai coklat dengan pantas sekali. Dikunyahnya berkali-kali bagi menghilangkan stress diri. Persis hamster yang laju menggigit kuaci.

“Wobert Wiok memang cabaran kita yang paling utama. Dia sangat berani. Dia sangat kreatif. Kita perlu berhati-hati dengan kemaraannya!” Shasha serius mengingatkan semua.

Reaksi Fazura adalah lebih ganas lagi. Dia menghentak penumbuk pada tilam. Bagaikan punya kuasa membelah kerak bumi pada bahagian paling dalam. Mujur hentakan itu lenyap ditelan mewahnya tilam spring berjenama antarabangsa yang diselimuti cadar sutera. “Memang Wobert Wiok sengaja cari fasal dengan kumpulan kita. Tempoh hari sewaktu di bilik tayangan pun, dialah yang paling hebat menyerang. Nantilah! Kita mesti buli dan sabotaj perancangan Wobert Wiok! Biar dia kalah dan dimalukan!”

Kemarahan Fazura berdegar-degar. Sekali gus menyebarkan impak gelombang negatif yang jelas menyelubungi suasana. Semua bagaikan tersampuk dan mengangguk-angguk. Semua sudah sama menggenggam penumbuk. “Saya cadangkan kita sabotaj Facebook Wobert Wiok. Daftar akaun haters beramai-ramai. Kemudian komen bukan-bukan. Biar dia terkena gangguan perasaan. Biar dia hilang tumpuan.” Dengan lirikan mata tajam, Sazzy melontarkan ideanya.

“Saya suka idea itu! It’s evil. It’s simple. Kita boleh lakukan sekarang juga! Hanya perlu pinjam komputer Fasha, kita sudah boleh buat onar di Facebook Wobert Wiok!” Nana menyokong sepenuh jiwa. Malah tubuhnya sudah kelihatan mahu bergerak bangun. Tentu mahu meninggalkan katil dan melangkah ke meja belajar Fasha. Di situ terletaknya komputer riba merah jambu jenama Sony Vaio milik Fasha.

Namun pergerakan Nana terhenti pabila mendengar Shasha berdehem kasar diikuti dengan suaranya yang membantah. “Jangan Nana! Jangan buang masa. Sepatutnya kita berbincang tentang idea kumpulan kita. Bukan penatkan otak fikir bagaimana mahu sabotaj kumpulan lain!”

Niat jahat Nana jelas terbantut. Membuatkan bibirnya masam terherot. Sazzy dan Fazura juga bagaikan berbalas-balas pandangan tidak puas hati dengan Shasha yang jadi batu penghalang kepada misi sabotaj yang suci murni.

“I have to agree with Shasha. Sekarang ini, menang cabaran lebih penting lagi. Kita perlu buktikan, kita bukan setakat pandai membeli-belah barangan berjenama. Kita mesti menang dan pertahankan maruah kita. Jadi tolak ke tepi dulu misi sabotaj Wobert Wiok. Minggu hadapan, pembentangan idea kita perlu tampil menarik berbanding kumpulan lainnya!” Akhirnya Fasha sebagai ketua sudah bersuara. Memberi kata putus yang wajib diikuti semua.

“Hmm… nampaknya buat masa ini, Wobert Wiok akan terlepas daripada cengkaman saya. Tapi tidak mengapa. Ada Nike ada Adidas, ada hari tentu saya boleh balas!” Akhirnya Fazura beralah. Bersetuju dengan kata-kata Fasha dan Shasha.

“Okey! Baiklah! Jangan hilang fokus lagi. Kita terus ke perbincangan utama. Siapa ada idea, bagaimana The Wannababes boleh menjana RM1 juta?” Shasha bertindak bagaikan moderator. Soalan dilontar. Menanti siapa yang paling tangkas. Mengemukakan idea menjadi jutawan Sri Bangsar. Tanpa disangka-sangka, semua The Wannababes mengangkat tangan. Semua mulut bagaikan bertih jagung. Bertimpa-timpa mengeluarkan pendapat yang pelbagai!

“Saya cadangkan kita buat salun rambut. Kita ikut jejak Winnie Loo, pemilik salun A Cut Above. Dengarnya sekarang sudah ada 17 cawangan salun dan memandu kereta mewah Porsche! Kita boleh ikut jejak langkahnya. Saya jamin, ramai pelajar perempuan Sri Bangsar mahu ikut jejak The Wannababes yang punya kecantikan rambut tahap artis!” Sazzy jadi yang paling dominan melontarkan idea. Siap mengerbangkan rambutnya. Menunjukkan bukti betapa setiap helai rambut itu kuat dan sihat berseri dari akar hingga ke hujungnya.

Diana di sebelah mengangguk laju. Teruja dia menyokong cadangan Sazzy itu. “Saya setuju! Selain buat rawatan rambut, kita boleh buat perkhidmatan menggunting dan mendandan rambut. Selalu sangat saya dengar, pelajar-pelajar perempuan bergosip. Katanya mereka cemburu dan mahu tiru gaya rambut saya yang sama sangat dengan Victoria Beckham.” Terkembang-kembang hidung Diana memberitahu info itu. Dia turut memusing kepala ke kiri dan kanan tanpa lenguh. Bagaikan seorang model syampu.

“Hmm… saya lebih suka jika kita tawarkan perkhidmatan skin care and facial.” Fasha mengemukakan pendapat berbeza. Dia mengelus pipi lembutnya sebelum menyambung kata. “Saya baru terbaca artikel tentang usahawan wanita bernama Marcia Kilgore yang membuka pusat perawatan muka dipanggil Bliss Spa. Perniagaannya berkembang maju dengan cepat, hinggakan syarikat pemegang saham utama Louis Vuitton membeli Bliss Spa dengan harga AS$40 juta Amerika!”

Mendengar info Fasha itu, The Wannababes ternganga mulut semuanya. Fasha pula tersenyum lebar hingga telinga. Bangga apabila berjaya tampil dengan sumber berita terkini. Fuh… tidak sia-sia rupanya membaca majalah kecantikan yang dibeli berkoyan-koyan oleh mamanya, Toh Puan Sri Zazarina.

“Wow! Saya mahu jadi seperti Marcia. Buka spa. Buka pusat perawatan kecantikan. Jadi idola semua pelajar Sri Bangsar. Paling hebat, dibeli oleh syarikat gergasi LV. That is the ultimate dream!” Fazura sudah terpengaruh dengan kisah kejayaan Marcia, wanita yang berasal dari Kanada.

“Sokong! Saya sokong sangat! Dengan idea ini, kita bukan setakat boleh jadi jutawan, kita boleh jadi billionaire! Biar setaraf dengan Cikgu Putra! Barulah Wobert Wiok terbuka mata, hormat pada kita dan segan mahu angkat muka!” Nana turut menyukai idea Fasha, tambah-tambah lagi tatkala mendengar kehebatan kejayaan Marcia.

“Hmm… kalau Sazzy beri idea salun rambut, Fasha beri inspirasi pusat rawatan kecantikan muka… saya pula cadangkan kita gabungkan kedua-dua idea. Kita buat one stop beauty centre for teenagers. Selalunya spa dan salun hanya untuk orang dewasa. Saya yakin jika kita sasarkan pada pasaran remaja yang tidak pernah disentuh sesiapa, mesti meletup perniagaan kita!” Shasha yang sedari tadi mendiamkan diri bagi menghadam informasi, kini bersuara. Bernas sekali!

Cadangan Shasha membuatkan Fasha mengangguk laju. Fazura bersinar mata tanda setuju. Nana, Sazzy dan Linda sudah mengangkat ibu jari tanda mahu turut serta dalam perniagaan sebegitu. Diana pula tersengih-sengih memandang siling, membayangkan betapa hebat dirinya nanti menjadi setaraf Winnie Loo. Semua The Wannababes nampaknya seia sekata dan sejiwa. Sudah sepakat dengan idea mengadakan pusat kecantikan setempat, khas buat golongan remaja. Harapnya hasil perkhidmatan itu mampu mencapai RM1 juta!

“Selepas ini kita mesti bersedia dengan modal dan bajet permulaan perniagaan. Kita juga mesti senaraikan barang-barang keperluan salun kita nanti.” Shasha memberitahu lagi langkah memulakan bisnes kepada semua The Wannababes yang ada.
“Nampaknya kita mesti pergi membeli-belah! Kita mesti beli segala jenis peralatan spa!” Mata Fazura jadi bercahaya sebaik topik membeli-belah dibuka menjadi bual bicara.

“Ya! Banyak sebenarnya yang kita perlu ada. Sikat, gunting, berus rambut, pengering rambut, syampu, krim, toner, masker… memang macam-macam item kecantikan yang kita mesti ada sebelum boleh sediakan perkhidmatan kecantikan buat semua remaja!” Nana menyebut satu persatu perkara yang terlintas di fikirannya.

Masing-masing mengangguk sebelum Fasha selaku ketua memberi arahan yang menggembirakan semua. “Okey! Jika begitu… bersiap semua! Kita pergi Mid Valley, KLCC dan One Utama! Kita akan buat kajian kes. Kita akan lihat contoh salun yang berjaya. Kita mesti senaraikan juga semua keperluan membuka salun remaja. Selepas itu barulah kita boleh pergi membeli-belah. Kita beli semua item kecantikan untuk membuka pusat kecantikan The Wannababes yang pertama dalam sejarah!”

Mendengar betapa bersemangatnya ucapan Fasha, semua The Wannababes bertepuk tangan tidak henti-henti tanda menyokong idea utama kumpulan itu. Idea berasaskan kecantikan itu disukai semua kerana mampu mengekalkan unsur glamor, popular dan trendy pada diri mereka. Idea yang dianggap paling hebat di alam maya.

Wobert Wiok, Irfan Khairiri, Maznah Hamidi dan Amanda Krishna… tunggulah minggu hadapan! Idea The Wannababes tentu akan membuatkan seluruh Kelab Jutawan Sri Bangsar dan Cikgu Putra tabik spring ‘toink-toink’ pada mereka!
… bersambung


Old things | New things